Kongres Rakyat – Ucapan Datuk Zaid Ibrahim

Ucapan Datuk Zaid Ibrahim, 27 hb Mac 2106

Pautan YouTube: https://www.youtube.com/watch?v=jDBU1zLJs0g

zaid_ibrahim_5_23052015

1. Selamat datang ke Kongres Rakyat yang pertama, yang diadakan di bawah `banner’ Gerakan Selamatkan Malaysia. Kongres ini muncul hasil daripada Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016 ditandatangani oleh semua pemimpin yang hadir pada hari ini, yang kami yakin akan juga ditandatangani oleh jutaan rakyat Malaysia dalam masa beberapa bulan mendatang.

2. Kita berhimpun di sini hari ini kerana negara dilanda krisis yang tidak terfikir boleh berlaku di sebuah negara demokrasi zaman ini. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak, Malaysia bergelut dalam korupsi dan skandal kewangan paling berat yang tak pernah kita dan dunia saksikan. Kredibiliti Perdana Menteri tercemar, dan tidak layak untuk terus memimpin. Maruah kita semua terjejas, dan kita rasa malu tentang apa yang berlaku.

3. Besarnya skandal rasuah dan penyelahan gunaan kuasa ini jelas bukan sahaja dari 1MDB, tetapi kes-kes lain yang ada kaitannya dengan kepimpinan hari ini. Negara tersayang ini menjadi subjek utama cemuhan global. Skala “cover up” yang direka untuk kekal berkuasa, dilakukan tanpa peduli akan batasan undang undang; dan peranan institusi kerajaan yang kita miliki, tidak pernah berlaku sebelum ini.

4. Kita tidak lagi boleh bersabar. Kebanyakan rakyat jelata hidup dalam kesusahan. Tidak ada negara dalam dunia dapat membahagikan kekayan Negara secara adil jika pemimpin mereka rakus dan bergelumur rasuah. Tidak ada agenda, sama ada agenda Melayu atau Islam, atau apa pun, boleh dilaksanakan kecuali jika pemimpin terdiri dari mereka yang telus dan amanah.

5. Bukan sahaja Perdana Menteri mesti ditolak, tetapi juga mereka yang bersubahat menutup skandal ini; walaupun mereka memegang jawatan tinggi dalam kerajaaan dan parti- parti politik. Mereka kononnya menolak rasuah, mahukan Islam, mahu `integriti’ dalam pentadbiran, tetapi hakikatnya mereka selesa dengan rasuah. Mereka terdiri dari kumpulan pemakan dedak yang setia.

6. Negara kita pernah dihormati dunia. Ramai pemimpin yang hadir hari ini adalah sebahagian daripada kisah kejayaan itu. Ramai antara kita adalah daripada generasi selepas Merdeka, sama-sama berjuang untuk rakyat bawahan supaya mereka merasai sedikit kemakmuran dan keadilan.

7. Kita bernasib baik kerana bersama kita ada hari ini ada patriot Negara yang tulin. Kita ada para pejuang yang berani menentang kepincangan ini, meskipun dengan risiko yang tinggi. Negarawan Tun Dr Mahathir yang tidak sedikit pun mempedulikan fitnah bahawa dia ada “personal agenda” atau alat parti pembangkang.

8. Kita ada Datuk Sri Anwar Ibrahim yang menyokong pergerakan ini walaupun di balik dinding besi penjara Sungai Buluh. Kita ada YB Tan Sri Muhyiddin Yasin yang sanggup dipecat semata-mata mahu mempertahankan kebenaran. Kita ada ramai pemimpin, di sini dan di luar sana, yang bersedia mengembalikan maruah Negara dan membetulkan kepincangan yang tidak ada bandingannya.

9. Akan ada yang bertanya apakah maufakat ini akan berkekalan? Apa perancangan kita dan sebagainya. Kita tunggu jawapan dari pemimpin di atas sini, dalam ucapan mereka. Saya ingin cadangkan empat perkara

a) Berdepanlah dengan rakyat di kampung; yang masih bimbang dengan perubahan, yang masih takut dan keliru dengan matlamat pimpinan baru. Jelaskan kepada yang masih tidak memahami; bagaimana salah guna kuasa dan rasuah adalah sebab utama mereka terus kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Berjalanlah kita ke seribu kampung dan kawasan pendalaman bercerita tentang ada masa depan yang lebih baik untuk mereka bila pemimpin itu amanah dan telus.

b) Gegarkan Negara ini dengan suara anak muda yang berani ; kerana mereka sudah memahami masalah masa kini. Biarlah mereka mengeluarkan peluh dan keringat, menggerakkan semangat baru menuntut pentadbiran yang telus. Hanya dengan sebuah kerajaan dan pemimpin yang baik berupaya memberi pendidikan serta alat persekolahan yang cukup untuk adik-adik mereka, dan memberi kerja dan gaji yang cukup untuk mereka sendiri.

c) Marilah kita memahami nasib jutaan pekerja rakyat kita sendiri; dan memperjuangkan hak mereka untuk hidup dengan lebih selesa termasuklah para pesara kerajaan. Sudah lama mereka diketepikan kerana yang mendapat longgokan faedah selama ini adalah para kroni dan mereka yang memegang kuasa.

d) Saudara kita di Sabah dan Sarawak perlu diajak berganding bahu memikul beban berat mengubah kepimpinan yang ada. Perjuangan untuk mendapat pembelaan ekonomi dan sosial hanya akan berjaya dengan kerjasama kukuh antara semua lapisan rakyat di mana jua mereka berada.

10. Malaysia sekarang ini sedang ditadbir secara rahsia melalui berbagai akta, paling menonjol Akta Rahsia Rasmi yang disalahgunakan. Itupun tidak cukup bagi mereka. Peguam Negara baru, sekarang mahu rakyat yang membocorkan rahsia Kerajaan dipenjara seumur hidup. Saya ingin ingatkan kepada Apandi Ali rahsia rasmi negara tidak sama dengan rahsia penyangak negara. Jangan salah perkiraan. Penyangak negara dan kuncu-kuncu mereka akan kita penjarakan seumur hidup apabila rakyat berkuasa. Pentadbiran negara mesti telus supaya pemimpin menjadi lurus. Marilah kita runtuhkan tembok rahsia ini.

11. Cukuplah rasa marah kita disimpan dalam hati, atau berkongsi ketakutan hanya bersama isteri, dan kawan di masjid dan kedai kopi. Cukup lah kita memberi rintihan dan kelohan. Masanya sudah sampai untuk bertindak.

12. Institusi Negara perlu dibina semula, supaya tidak lagi akan berlaku dimasa hadapan, seorang pemimpin boleh melakukan apa saja tanpa kawalan. Kita perlu perubahan yang menyeluruh supaya Polis menjadi penguatkuasa undang undang yang adil kapada semua. Kita perlu kesedaran rohani yang mendalam supaya Sdr Anwar Ibrahim juga dapat bersama kita secepat mungkin. Kita akan capai semua ini dengan menolak Najib dan Kerajaan hari ini.

13. Gerakan Selamatkan Malaysia, sesungguhnya tidak mungkin wujud tanpa inisiatif sokongan dan semangat berani Tun Dr Mahathir Mohamad. Terima kasih kepada Tun dan para pemimpin lain yang turut menjayakan pertemuan ini. Gerakan menjelajah setiap negeri, setiap kampong akan bermula selepas ini.

14. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak kerana menyertai Kongres hari ini, dan sumbangan yang mereka beri. Hari ini menandakan satu detik penting; tindakan untuk menyelamatkan Malaysia daripada kumpulan penyangak telah bermula. Percaya lah kita akan menang dalam usaha murni ini.

Selamat bersidang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s